YANG ditunggu dah tiba setelah sekian lama. Sekitar jam 11.30 pagi, Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden United Malays National Organisation mengumumkan bahawa Parlimen yang diwarisinya daripada kepimpinan Abdullah Badawi empat tahun lalu, bubar serta merta hari ini.
Seolah ada letupan, petugas bilik berita DAP bersorak gembira mengalu-alukan pengumuman suami kepada Rosmah Mansor itu; yang dirasakan sudah terlalu melampaui tarikh sepatutnya. Ibarat menanti buah belum tentu gugur.
Barangkali pertama kali dalam sejarah pembubaran Parlimen begitu dinanti-nantikan, dan disambut dengan sorak sorai gembira. Demikianlah beratnya penantian yang ditanggung kebanyakan orang yang peduli dengan perkembangan politik tanah air. Terangkatnya beban penantian itu menandakan bermulalah perlawanan yang lebih ‘real’.
Semboyan pilihan raya telah dibunyikan jauh lebih awal sebelum Najib Razak mengumumkan pintu kota Putrajaya akhirnya terbuka untuk dirampas. Kubunya juga sudah banyak yang terkepung, menanti bertukar menjadi kubur buat politik fitnah, rasuah, perkauman sempit yang menjadi amalan UMNO zaman berzaman.
Kesediaan bakal mantan Perdana Menteri, Najib Razak untuk memastikan transisi kuasa yang aman sewajarnya dihargai. Hakikat bahawa beliau sudah boleh mengagak akan terjadinya peralihan kuasa juga memperlihatkan bahawa Najib Razak ini adalah seorang pemimpin yang memandang jauh ke hadapan.
Sebagai rakyat biasa, apa yang kita harapkan adalah supaya mereka bertabah dalam mendepani hari-hari mendatang. Bungkuslah harta benda kalian perlahan-lahan, kami tahu anda ada banyak barang yang perlu dikeluarkan daripada kediaman rasmi Perdana Menteri; termasuk kasut, beg tangan dan barang kemas yang banyak. Cumanya janganlah terambil sekali pinggan mangkuk yang dilabel ‘Hak Kerajaan Malaysia’.
Kenapa kita begitu gembira?
Sejak Mac 2008, ini adalah barang kali saat dan ketikanya -parti politik di Malaysia benar-benar bersaing sesama sendiri dengan keadaan parti pemerintah berada dalam keadaan yang lemah, dan parti oposisi berada dalam keadaan yang sangat kuat. Apa yang tinggal pada BN hanyalah barangkali kemampuan berbelanja yang tinggi.
Kemampuan menipu mereka juga sudah tidak kuat mana. Jika dibanding sepuluh tahun lalu, parti pemerintah sudah tidak punya banyak daya upaya untuk menyajikan putar belit kepada rakyat. Di zaman ini, kalau dia menipu hari ini, semalam lagi orang dah tahu. Inilah faktor besar kenapa kita begitu tidak sabar menanti pilihan raya kali ini; kerana tipu dayanya sudah kita baca, dan semangat sudah berkobar-kobar mahu menghukum penipuannya.
Siapa yang tidak terbakar jiwa raga apabila melihat papan tanda kempen BN yang dengan bongkak menipu ‘Ketika mereka huru-hara, kami membina’. Disangkanya kita ini bodoh barangkali, tak tahu membaca berita di internet dan melihat gambar perhimpunan aman di Kuala Lumpur dan bagaimana pihak keselamatan berperilaku ganas terhadap peserta himpunan.
Perangai ‘menyangka bodoh’ ini juga menular hebat di kalangan pecacai parti pemerintah yang cuba untuk berdebat di laman sosial dengan hujah separuh masak, atau dengan alasan tidak masuk akal seperti ‘Anwar peliwat’ atau ‘Anwar ejen Israel’ atau yang lebih popular dan bodoh, ‘DAP mahu buat negara Kristian’.
Apakah mereka ini tidak sekolah dan berpendapat orang lain juga tidak pergi sekolah seperti mereka?
Sekarang apa?
Seperti yang sering dikatakan, Pakatan Rakyat sudah bersedia. Bahkan dua tahun lalu kita sudah sedia. Cuma menanti Najib Razak untuk menemui keberaniannya sahaja. Tahniah untuk beliau kerana akhirnya bertemu beraninya itu hari ini.
Menurut kalendar Cina, hari ini (3 April 2013) ialah hari paling ‘sial’ untuk tahun ini; tambahan pula untuk mereka yang lahir pada tahun ular dan khinzir. Mereka yang lahir pada tahun ular dan khinzir disarankan agar tidak melakukan kerja atau urusan yang penting pada hari ini.
Bakal mantan Perdana Menteri lahir pada tahun ular, dan memilih untuk membubarkan Parlimen pada hari ini. Sekiranya kita tidak mahu percaya kepada yang khurafat pun, ini sekurang-kurangnya patut buat kita ketawa berdekah-dekah.
Dengan keadaan Najib Razak yang begitu tidak bertuah ini, sewajarnya kita di pihak Pakatan Rakyat mengambil peluang untuk bekerja kuat demi menghumban United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya ke celahan paling gelap dalam lipatan sejarah.
Inilah perlawanan yang telah lama kita nantikan. Perlawanan antara rakyat menentang hegemoni UMNO dan BN, demi masa depan anak cucu yang lebih baik.
Undilah untuk perubahan yang kita inginkan. Ini kali lah!
Oleh Izmil Amri – Roketkini.com - 3 April 2013
Comments : Ada 0 komentar untuk Wahai Pi Em Dan Matan Pi Em
Post a Comment