DAP hari ini mendakwa, Pendaftar Pertubuhan (ROS) bertujuan menyusahkan parti itu apabila memutuskan barisan kepimpinannya tidak sah 48 jam sebelum hari penamaan calon.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam sidang medianya berkata, surat yang diberikan kepada beliau dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Anthony Loke pada tarikh yang sama juga berbeza.
Dalam surat kepada Guan Eng, ROS menyatakan wujud pertikaian berhubung pemegang jawatan dalam parti itu namun surat kepada Anthony menyatakan siasatan dakwaan itu ditangguhkan ke tarikh 9 Mei.
Guan Eng mempertikai tindakan ROS yang mengeluarkan surat tersebut sebelum siasatan selesai dilakukan.
Guan Eng berkata demikian dalam sidang mediannya hari ini selepas menerima surat dari ROS petang semalam.
Turut serta dalam sidang media ini adalah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail.
"Tujuan utama mereka tak iktiraf pimpinan DAP kerana nak nafikan hak kami untuk bertanding menggunakan lambang sendiri," kata Guan Eng.
Sehubungan itu, DAP akan bermesyuarat malam ini untuk menimbangkan keputusan menggunakan lambang PAS di Semenanjung Malaysia dan lambang PKR di Sabah dan Sarawak.
PAS PKR SEDIA BENAR
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang turut berada dalam sidang media sama menyatakan kesediaan untuk membenarkan DAP menggunakan lambang PAS.
"Perkara ini telah dibincangkan beberapa minggu sebelum ini dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang tak ada masalah dengan perkara ini, " katanya.
Nada yang sama turut disuarakan Setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution yang menyifatkan tindakan ROS itu sebagai cara untuk meletakkan DAP dalam kesukaran.
"48 jam sebelum penamaan calon, sepatutnya kami tidak berada dalam sidang media ini. Kami harus membuat persiapan terakhir untuk penamaan calon tapi kerana tindakan ROS, kami terpaksa buat mesyuarat tergempar.
"Atas semangat kekitaan, PKR bersedia memberi laluan kepada DAP di Sabah dan Sarawak untuk guna lambang PKR," katanya.
Comments : Ada 0 komentar untuk DAP Sedia Tanding Tiket PAS Di Semenanjung, PKR Di Sabah & Sarawak
Post a Comment