KUALA LUMPUR: Jelajah Gelombang Anak Muda Tolak Umno BN (Tolak) bersiap sedia untuk turun ke Parlimen 'kuat Umno BN' dalam siri jelajahnya ke seluruh negara.
Tolak yang merupakan NGO yang disertai Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) bersama 26 NGO menganjurkan siri jelajah tersebut bagi menzahirkan penolakan mereka terhadap Umno BN yang mengamalkan politik lucah, fitnah dan samseng menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Menurut Pengerusi Tolak, Azan Safar, dalam siri jelajah yang akan bermula pada 5 April sehingga 12 April itu, mereka akan menerangkan kepada rakyat berkenaan ketidakupayaan Umno BN mentadbir negara dan jenayah yang dilakukan mereka.
"Kami akan turun ke negeri-negeri dan memilih untuk ke Parlimen yang kuat Umno BN untuk menerangkan kepada rakyat mengapa mereka tidak boleh lagi mengundi Umno BN pada PRU akan datang.
"Kami tidak takut dengandengan risiko dihalang masuk dan sebagainya kerana kami mahu protes kami sampai kepada rakyat," katanya pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), dekat sini hari ini.
Menurut Azan juga, Tolak akan menghimpunkan jutaan tanda tangan rakyat Malaysia yang akan dilakarkan di atas kain putih sepanjang satu kilometer dan akan dibentangkan dalam acara kemuncak di ibu negara pada 13 April depan.
"Tanda tangan rakyat ini adalah sebagai pungutan suara dan bukti rakyat Malaysia sepakat untuk tidak lagi mengangkat Umno BN sebagai kerajaan selepas PRU13.
"Rombongan Tolak hanya akan menggunakan pengangkutan awam dan berjalan kaki untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat sebagai simbolik dan menzahirkan protes terhadap Umno BN," katanya.
Siri jelajah Tolak akan bermula pada 5 April (Perak), 6 April (Pulau Pinang), 7 April (Sarawak), 8 April (Terengganu), 9 April (Kelantan), 10 April (Pahang), 11 April (Johor) dan 12 April (Melaka).
Bagi acara kemuncak di Kuala Lumpur, Tolak mensasarkan penyertaan lebih 5,000 anak muda.
"Bagi acara kemuncak mungkin kami akan berarak membawa tanda tangan yang sudah dikumpul," katanya.
Tolak juga mencetak 10,000 risalah kit mini penerangan 'Kenapa Saya mesti Tolak Umno BN' untuk diedarkan sewaktu jelajah.
Jelas Azan juga, tarikh pembubaran Parlimen tidak akan menjejaskan program yang diatur.
"Kalau Parlimen bubar cepat lagi bagus. Boleh kami turun berkempen sekali untuk calon yang menentang Umno BN," katanya sambil menegaskan Tolak tidak dipengaruhi mana-mana parti politik.
Turut bersama pada sidang media tersebut ialah wakil Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Fadhil Osman, Ketua Penerangan Gamis, Khairul Izzaz dan wakil Dema, Lau Yi Leong.
Sebelum itu, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said mendeklamasi sajak bertajuk 'Penghulu Bangsa' sebagai menyatakan sokongannya terhadap Tolak.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/17711-ngo-tolak-akan-gempur-kubu-kuat-umno-bn
Comments : Ada 0 komentar untuk NGO Tolak Akan Ggempur Kubu Kuat Umno BN
Post a Comment