
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak perlu menunggu selepas Pilihan raya Umum ke-13 untuk menilai prestasi kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.
“Cukup untuk beliau menilai selama 4 tahun tempoh pemerintahan Najib sudah menjawab persoalan mengenai prestasi beliau,” ujar Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor.
Realitinya, kata beliau prestasi Najib jauh lebih buruk dan teruk daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri.
Malah, katanya sebelum PRU13 lagi ia sudah jelas kelihatan dan paling ketara adalah sehingga ke hari ini (28 Mac), Parlimen masih belum dibubarkan, yang sudah melepasi 20 hari parlimen cukup tempoh selama 5 tahun.
Menurutnya, belum pernah terjadi dalam sejarah negara, tempoh parlimen dibubarkan melepasi tempohnya selama 5 tahun.
Kini, kata Riduan kerajaan memerintah tanpa mandat rakyat dan hanya melalui hayat parlimen sahaja sebelum terbubar secara automatik pada 28 April 2013.
Malah, ujar beliau lebih memburukkan keadaan, Dun Negeri Sembilan pula terbubar secara automatik pada 28 Mac 2013 dan kerajaan sementara akan mengambil alih negeri tersebut.
“Soalnya, dengan keadaan demikian, tidakkah PM dilihat sebagai pemimpin Umno paling lemah, tidak berkeyakinan, tidak konsisten dan tidak memiliki wibawa.
“Mengapa beliau perlu menunggu sehingga hayat parlimen sampai ke penghujungnya untuk membubarkan parlimen sekiranya prestasi PM sedang berada di kemuncak?” ujarnya lagi.
Katanya, bukankah ia bermakna PM sedang dalam ketakutan atau tidak yakin ekoran penolakan rakyat terhadap dirinya.
Sebenarnya, kata beliau Najib sudah hilang kredibiliti dengan sikap flip flop seperti ini.
Beliau menambah, apapun strategi yang bakal digerakkannya, rakyat tidak berganjak dari keputusan mahu mengundurkannya dalam PRU13.
Justeru, ujarnya untuk menyelamatkan keadaan seketika, Mahathir perlu nasihatkan PM untuk berundur sebelum PRU13 supaya prestasi BN dapat dipelihara.
“Beliau perlu digantikan dengan segera bagi memastikan BN dapat diselamatkan, paling tidak dapat mengimbangi kekuatan Pakatan Rakyat yang sedang melonjak naik,” katanya.
Hakikatnya, kata Riduan lagi, siapa sahaja mengemudi BN, ia akan tetap ditolak oleh rakyat.
Ini, katanya kerana BN ibarat barang buangan yang mahu dilupuskan oleh rakyat, akibat sikap dan tindakan mereka yang tidak pernah berubah.
Beliau berkata, BN tidak pernah menginsafi kejahatan mereka, lantaran itu rakyat terpaksa mengajar mereka dengan menunjuk jalan keluar.
“Berilah baton kepimpinan ini kepada Najib, ia adalah bola tanggung yang mudah dipukul “smash” oleh rakyat.
“Sebaliknya, jika Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengemudi BN, maka ia adalah penalti mudah untuk rakyat menolak bola masuk ke gawang BN,” katanya.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/17744-mahathir-tak-perlu-tunggu-pru13-untuk-menilai-najib







Comments : Ada 0 komentar untuk Mahathir tak perlu tunggu PRU13 untuk menilai Najib
Post a Comment