PETALING JAYA 9 Mac: KEADILAN hari ini mendedahkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, telah menggunakan sebanyak RM409,767 wang rakyat untuk menanggung kos majlis pertunangan anak perempuannya, yang diadakan di Seri Perdana tahun lalu.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, kos itu merangkumi satu tempahan majlis bankuet di Hotel Shangri La yang menyediakan perkhidmatan katering untuk majlis pertunangan berkenaan.
Berdasarkan dokumen yang diedar kepada media, kos tersebut telah dicaj kepada Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
“Hari ini kami tampil dengan bukti kukuh bahawa majlis tersebut dibiayai oleh rakyat Malaysia apabila keseluruhan urusan tempahan dan pembayaran dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini.
Media sebelum ini melaporkan majlis pertunangan anak Najib, Nooryana Najwa dengan warga Kazakhstan, Daniar Nazarbayev berlangsung pada 17 Jun tahun lalu.
Menurut Rafizi, KEADILAN juga telah membuat semakan dan berjaya mengesahkan individu-individu yang dinamakan di dalam dokumen tersebut adalah sahih.
Berdasarkan bil pembayaran, kos untuk jamuan VIP seramai 36 orang berjumlah RM18,792, kos jamuan tetamu berjumlah RM309,975, serta kos pengendalian berharga RM81,000.
“Tetamu tidak dihidangkan dengan menu rakyat 1Malaysia, sebaliknya menu yang mirip santapan di raja termasuklah daging panggang Australia, makanan-makanan laut dan pelbagai juadah yang di luar kemampuan dan imaginasi rakyat biasa,” katanya.
“Adalah sangat memualkan apabila wang rakyat digunakan memenuhi nafsu dan citarasa mereka. Pada masa yang sama, Perdana Menteri membayar perunding-perunding untuk membina imej seorang yang makan bersama-sama rakyat dan menampilkan kesederhanaan,” ujar beliau.
Rafizi berkata, tindakan itu menggambarkan sikap buruk kerajaan, dari perdana menteri hingga ke barisan menteri kabinet yang menggunakan wang pembayar cukai untuk kemewahan mereka.
Sebelum ini, Pakatan Rakyat mendakwa Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansur turut menggunakan wang rakyat untuk merisik perkahwinan anak perempuan mereka di Kazakhstan, dengan berselindung di sebalik urusan rasmi negara.
http://maidoali.wordpress.com
Comments : Ada 0 komentar untuk RM400k Kos Pertunangan Anak Tok Guru
Post a Comment